"MEMBUDAYAKAN PERPADUAN , MERAIKAN KEPELBAGAIAN "







Isnin, 24 Mei 2010

SUKANDIDIK DAERAH KULIM 2010












Ahad 23 Mei - Sukandidik Tabika Perpaduan Daerah Kulim telah dilaksanakan dengan jayanya di Padang Sektor D, Taman Kenari, Kulim. Majlis pembukaan rasmi telah disempurnakan oleh Yg Dihormati Tuan DSP Chin Timbalan Ketua Polis mewakili Ketua Polis Daerah Kulim.

Sebanyak 19 kelas tabika seluruh daerah telah menyertai program ini disamping penyertaan semua waris dan ibubapa.

Pihak Jawatan pengelola merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program kali ini.







Sabtu, 15 Mei 2010

SELAMAT HARI GURU



Dapat rusa belang kakiBerguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.



Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.



Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG1979




Selamat Menyambut Hari Guru kepada seluruh warga kerja KelasTabika Perpaduan Daerah Kulim/ Bandar Baharu. Jadikan tema Hari Guru " Guru Pembina Negara Bangsa " sebagai satu teras untuk mencapai kejayaan dan kemajuan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan pra sekolah.


Seluruh pentadbiran JPNIN Kulim/ Bandar Baharu mengucapkan selamat Hari Guru.

Ahad, 9 Mei 2010

PROGRAM MESRAPADU KEJIRANAN












Program MesraPadu Kejiranan KRT Syed Sheh telah berjaya diadakan pada sabtu 1Mei. Pelbagai aktiviti dijalankan sempena program tersebut.






Ahad, 2 Mei 2010

BALU AJKRT TERIMA PAMPASAN


BANDAR BAHARU 2 Mei -
Kehilangan suami tersayang kira-kira tiga bulan lalu begitu dirasai J. Nesamani, 40, dari Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar di sini kerana kehilangan tempat bergantung hidup.Kesengsaraan itu bagaimanapun sedikit terubat apabila beliau menerima sumbangan bernilai RM20,000 daripada Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. hasil caruman insurans suaminya, P. Muniandy dalam Skim Ronda Sukarela (SRS) Rukun Tetangga (RT) yang diperkenalkan sejak 1 Januari 2007.

Nesamani berkata, beliau tidak menduga menerima faedah daripada skim insurans itu selepas suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 11 Februari lalu.
"Rupa-rupanya, semua ahli SRS ini ada caruman masing-masing sebanyak RM10 setahun dan saya memang tidak tahu suami saya juga berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek sumbangan tersebut pada program karnival sukan anjuran RT Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, Serdang di sini hari ini.
Cek berkenaan disampaikan oleh Pengurus Projek Insuran RT, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Shahrul Azmi Ab. Rahman.Turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kulim-Bandar Baharu, Shahrizad Mohd. Dahlan dan Ketua Balai Polis Serdang, Sub Inspektor Kamarudin Ahmad.

Nesamani berkata, wang berkenaan akan digunakan untuk membiayai keperluan keluarga termasuk anak-anaknya, Mattew Noell, 11, yang masih menuntut di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Lunas, Kulim; Geethanya, 2, dan Bhavanis, berusia 10 bulan.
''Apabila terima wang sebanyak ini, hati berasa gembira dan tenang kembali," katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapannya, Shahrul Azmi memberitahu, sepanjang tahun lalu, sebanyak RM1.9 juta diserahkan kepada ahli-ahli RT yang menyertai skim itu akibat kemalangan.
Jelasnya, ia melibatkan 86 kes kemalangan maut dan 300 kes kecederaan.

Beliau menambah, sehingga kini, seramai 150,000 ahli di 4,610 kawasan RT termasuk di Sabah dan Sarawak menyertai skim tersebut.Beliau menjangkakan bilangan ahli SRS di seluruh negara meningkat seramai 200,000 orang pada penghujung tahun ini.