"MEMBUDAYAKAN PERPADUAN , MERAIKAN KEPELBAGAIAN "







Ahad, 2 Mei 2010

BALU AJKRT TERIMA PAMPASAN


BANDAR BAHARU 2 Mei -
Kehilangan suami tersayang kira-kira tiga bulan lalu begitu dirasai J. Nesamani, 40, dari Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar di sini kerana kehilangan tempat bergantung hidup.Kesengsaraan itu bagaimanapun sedikit terubat apabila beliau menerima sumbangan bernilai RM20,000 daripada Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. hasil caruman insurans suaminya, P. Muniandy dalam Skim Ronda Sukarela (SRS) Rukun Tetangga (RT) yang diperkenalkan sejak 1 Januari 2007.

Nesamani berkata, beliau tidak menduga menerima faedah daripada skim insurans itu selepas suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 11 Februari lalu.
"Rupa-rupanya, semua ahli SRS ini ada caruman masing-masing sebanyak RM10 setahun dan saya memang tidak tahu suami saya juga berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek sumbangan tersebut pada program karnival sukan anjuran RT Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, Serdang di sini hari ini.
Cek berkenaan disampaikan oleh Pengurus Projek Insuran RT, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Shahrul Azmi Ab. Rahman.Turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kulim-Bandar Baharu, Shahrizad Mohd. Dahlan dan Ketua Balai Polis Serdang, Sub Inspektor Kamarudin Ahmad.

Nesamani berkata, wang berkenaan akan digunakan untuk membiayai keperluan keluarga termasuk anak-anaknya, Mattew Noell, 11, yang masih menuntut di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Lunas, Kulim; Geethanya, 2, dan Bhavanis, berusia 10 bulan.
''Apabila terima wang sebanyak ini, hati berasa gembira dan tenang kembali," katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapannya, Shahrul Azmi memberitahu, sepanjang tahun lalu, sebanyak RM1.9 juta diserahkan kepada ahli-ahli RT yang menyertai skim itu akibat kemalangan.
Jelasnya, ia melibatkan 86 kes kemalangan maut dan 300 kes kecederaan.

Beliau menambah, sehingga kini, seramai 150,000 ahli di 4,610 kawasan RT termasuk di Sabah dan Sarawak menyertai skim tersebut.Beliau menjangkakan bilangan ahli SRS di seluruh negara meningkat seramai 200,000 orang pada penghujung tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan